Monday, April 9, 2012
Thursday, September 8, 2011
Anak Kelaparan, Kera disusukan..
Wira Negara
Negara diselubungi kesedihan kerana peristiwa kematian rakyat Malaysia di Mogadishu. Saudara kita Noramfaizul yang dinobatkan sebagai Wira Negara menemui ajalnya tatkala menjalankan kerja amal di negara yang tidak putus putus dilanda kemelut kemiskinan yang amat menyedihkan. Seluruh rakyat bersedih termasuklah pemimpin tertinggi negara, PM Datuk Seri Najib terpaksa memendekkan tempoh percutian beliau di Perth semata mata untuk bersama khalayak untuk menyambut wira negara yang hanya tinggal sekujur tubuh kaku kerana telah dipanggil menemui Tuhannya. Sebagai insan yang bersama merasai kesedihan, kita mengucapkan rakaman takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul yang kita lihat tenang menerima ujian Allah ini dan reda atas pemergiannya.
Di dalam ketenangan keluarga beliau menerima ujian ini kita juga mahu pihak penganjur, Kelab Putera 1 Malaysia bertanggungjawab terhadap kejadian yang berlaku. Ia menggambarkan tiada ciri-ciri keselamatan yang rapi diusahakan oleh penganjur untuk peserta misi dan wartawan di sana. Sepatutnya mereka yang mengikuti misi ini dibekalkan dengan jaket keselamatan untuk menjamin keselamatan mereka. Begitu juga dengan kawalan tentera dan polis di negara tempat mereka bertugas hendaklah dipastikan terlebih dahulu oleh pihak penganjur sebelum mereka melaksanakan tugas tersebut. Kita juga dimaklumkan bahawa kenderaan yang dinaiki oleh petugas tidak mempunyai sebarang label yang khas yang menandakan ianya adalah kenderaan petugas yang menjalankan operasi bantuan. Kehadiran kenderaan yang tidak mempunyai sebarang tanda khas yang dimaksudkan sudah tentu akan mengundang rasa syak pihak tertentu. Kemungkinan peluru yang dihalakan kepada kenderaan yang dinaiki Allahyarham Noramfaizul dan rakan-rakan bukannya peluru yang ‘sesat’ tetapi merupakan peluru yang sememangnya dihalakan ke sasarannya!
Benarkah negara kita prihatin?
Sebagai rakyat Malaysia kita amat berbangga dengan kegigihan misi kemanusiaan yang dilakukan oleh para sukarelawan yang sanggup menggadai nyawa membantu insan sejagat yang ditimpa malang. Sebelum ini sudah banyak misi kemanusiaan yang melibatkan rakyat dari negara kita telah meredah kesusahan dan bahaya seperti misi ke Gaza, bantuan kepada mangsa Tsunami di Acheh dan Jepun serta bantuan kemanusiaan kepada mangsa runtuhan akibat gempa bumi di Christchurch, New Zealand. Negara telah mengorbankan masa dan jutaan ringgit demi menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang prihatin terhadap sesama insan yang lain yang menumpangi bumi Allah ini yang dilanda berbagai musibah. Rakyat Malaysia ternyata pemurah jika dijumlahkan kutipan sumbangan yang berjaya dikumpulkan untuk membantu mangsa pada setiap kali berlaku bencana di dalam atau pun di luar negara. Syabas kepada semua rakyat Malaysia.
Rakyat sendiri terabai
Namun di sebalik sikap prihatin negara kita kepada kemelut kemiskinan yang melanda di luar negara, secara sedar atau tidak kita telah menafikan rakyat kita yang tidak kurang jumlahnya yang melarat dan berada di paras kemiskinan tegar. Apakah nasib ribuan rakyat ini sudah terbela sehingga kita kerap mengalih perhatian kita kepada kemelut kemiskinan yang melanda di luar sana. Masih ramai rakyat Malaysia sendiri baik yang tinggal di negeri di bawah kerajaan parti Barisan Nasional mahu pun yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan Rakyat melarat di bumi sendiri. Rata-rata mempunyai penghuni warganegara Malaysia tulin yang dibayangi kehidupan miskin yang melarat. Mungkin kita belum pernah mendengar laporan kematian akibat kebuluran di negara kita, tetapi adakah kita mahu menunggu ke saat yang menyayat itu barulah kelam kabut kita hendak adakan berbagai formula ekonomi untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik ini. Negara dilambakkan dengan begitu ramai pakar ekonomi kononnya, namun setakat ini banyak formula penyelesaian hanyalah retorik semata-mata. Kupasannya hanya sedap di dengar di seminar dan kolokium para cendekiawan ekonomi yang hanya berjaya menunjukkan gaya berpidato yang hebat sahaja. Sahnya rakyat jelata masih menadah tempurung menunggu ihsan pemerintah yang telah mereka ikhlaskan kuasa dan amanah untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Berapa lama lagi harus rakyat menunggu menjadi persoalan yang tidak kunjung jawapannya.
Jika kita mengambil kira jumlah yang telah kita sumbangkan kepada masyarakat luar negara melalui kutipan ikhlas rakyat Malaysia dan peruntukan kerajaan selama ini, kita penuh yakin jumlah tersebut yang ditaksirkan jutaan ringgit mampu untuk meredakan kemelut kemiskinan yang melanda negara kita sendiri. Apakah soal kemiskinan di dalam negeri sudah beres diuruskan dengan bijak oleh pemerintah sehingga kita boleh memberi fokus kepada negara luar. Adakah tanggungjawab kita memberi keutamaan menolong kaum kerabat yang di dalam kesusahan tegar seperti yang dituntut oleh agama telah kita sempurnakan sehingga berlebihan wang kita salurkan kepada pihak luar. Kalau tidak jawapannya apakah yang kita cari apabila bersungguh benar kita gagahi ranjau dan onak menghantar misi kemanusiaan seperti ke Somalia. Adakah pujian dan sanjungan yang menjadi matlamat akhir kita. Renungkanlah.
Subscribe to:
Posts (Atom)